"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Antara petunjuk sikap Khawarij: Tergamak penyokong pembangkang ini kait dua pemimpin negara dengan tangki najis, masuk neraka

Harapandaily
Lagi bukti perangai buruk Khawarij dalam kalangan penyokong pembangkang tersebar apabila tergamak mengaitkan dua nama pemimpin utama Kerajaan Madani dengan tangki najis dan masuk neraka.

Tangkap layar komentar pengguna akaun Facebook atas nama Ben Hisham yang biadab lagi melampau itu tular di media sosial.

“Kebumi kat mana-mana pun sama ja… nanti kalau anuar brahim mati wak jahit sumbat dia dalam tangki najis pun sama ja… dia tetap masuk neraka,” tulisnya.

Komentar yang ditinggalkannya itu dilihat menyamai sikap Khawarij dengan perilaku ghuluw dan takfir hanya disebabkan perbezaan politik kepartian.

Semakan Harapandaily mendapati akaun media sosial lelaki itu sudah tidak dapat diakses lagi dengan tertera makluman “Ben locked his profile”.

Hanya dua ayat sembang pada profil Ben Hisham yang masih bersisa dan dapat dibaca iaitu “Biar kita tidak dihargai asalkan kita masih ada harga diri” dan “Power in his hands, the one and only”.

Dr. Muhamad Akmal Saleh: Bangladesh datang Malaysia pun boleh cakap bahasa Melayu

KOSMO!

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh memuji tindakan berani pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menghalang individu tidak mampu berbahasa Melayu membuat pasport.

Menurut beliau, tindakan itu menyedarkan realiti yang berlaku di Malaysia walaupun tiada peruntukan undang-undang mewajibkan warganegara perlu bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat untuk membuat pasport.

“Tindakan pegawai imigresen itu perlu dipuji tambahan pula dengan kebanjiran warga asing ke negara kita semakin bertambah. Mereka perlu memastikan kesahihan hanya warganegara sahaja yang benar-benar layak untuk membuat pasport.

“Jika warga Bangladesh yang datang ke Malaysia boleh bertutur bahasa Melayu, apa ertinya kita yang mengaku warganegara tetapi masih tidak mampu bertutur bahasa Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh baru-baru ini menegaskan, pegawai JIM tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan pasport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Beberapa portal sebelum ini melaporkan kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang

Walau sudah menerangkan bahawa ibunya hanya mampu berbahasa Melayu dengan terhad susulan tidak bersekolah, kakitangan UTC Komtar tetap tidak menerima alasan tersebut.

Lelaki terbabit bagaimanapun berjaya memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada 22 April lalu.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO menggesa kerajaan mahupun pembangkang membawa usul ke persidangan Parlimen untuk mengubal undang-undang iaitu antara syarat wajib untuk diiktiraf sebagai warga Malaysia wajib bertutur dalam bahasa Melayu. – KOSMO! ONLINE

Zaid Ibrahim: PN tak mampu tarik sokongan bukan Melayu yang besar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, walaupun Perikatan Nasional (PN) mampu melancarkan kempen yang berwibawa menjelang PRK Kuala Kubu Baharu, ia tidak akan dapat menarik sokongan yang besar daripada golongan bukan Melayu.

Zaid yang juga bekas ahli PKR dan DAP berkata, PN harus mengelak daripada menunjukkan “kecenderungan melampau” atau membuat ucapan berapi-api.

PN juga perlu menampilkan diri sebagai parti bertanggungjawab yang bersedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan, katanya.

“Tetapi di situlah masalahnya. PN tidak akan dapat menarik sokongan bukan Melayu yang besar.

“Mencabar bagi parti itu untuk bertapak dalam kalangan pengundi Cina,” katanya di platform media sosial X.

Zaid berkata, walaupun populariti bekas menteri besar Selangor Azmin Ali akan membantu dalam usaha menarik orang bukan Melayu menyokong PN, beliau perlu meyakinkan pengundi Cina dan India bahawa pemimpin bukan Melayu akan memegang portfolio penting di Selangor.

Sementara itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) akan dapat mengekalkan kerusi DUN yang disandangnya selama tiga penggal itu jika dapat mencapai beberapa perkara.

Ini termasuk peruntukan pembangunan sama rata untuk wakil rakyat pembangkang, serta menangani isu “perintah tambahan”, yang dikatakan membolehkan bekas perdana menteri Najib Razak menghabiskan hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah.

“Jika perkara-perkara ini dapat dicapai, PH akan terus menjadi pilihan di Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Zaid juga mempertahankan keputusan DAP untuk mencalonkan Pang Sock Tao pada PRK 11 Mei itu dengan berkata, beliau ialah pilihan yang tepat walaupun disifatkan sebagai calon berisiko oleh segelintir penganalisis.

Semalam, PN menamakan pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, sebagai calonnya.

PRK Kuala Kubu Baharu dijadualkan selepas kerusi itu kosong berikutan kematian Adun tiga penggal DAP, Lee Kee Hiong, akibat kanser bulan lepas.