"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenalkah engkau perempuan ini?

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Wahai anakku,
Sentiasalah berlapang dada dengan teguran seseorang padamu, kerana setiap teguran akan menjadi permata yang sangat berharga seandainya kamu menerimanya sebagai satu nasihat. Seandainya kamu tidak melakukan apa yang dinyatakan itu, maka jadilah ia pedoman masa depanmu, dan sekiranya nasihat itu benar, ambillah ia sebagai sesuatu yang bernilai.

Wahai anakku,
Suatu hari Khalifah Umar al-Khattab keluar bersama al-Jarud bin al-Abdi. Tiba- tiba muncullah seorang wanita tua, memberi salam kepada Saidina Umar, lalu salamnya dijawab oleh Saidina Umar. Wanita itu memohon agar Saidina Umar memperlahankan perjalanannya bagi memberi peluang ia berbicara dengan Saidina Umar.

"Wahai Umar aku telah mengenalimu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar sewaktu kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukazh engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah hari demi hari sehingga kamu dikenali dengan panggilan Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah SWT mengenai hal rakyatmu…”

Mendengar kata-kata wanita itu, lalu al-Jarud bin al-Abdi menegur wanita itu, "Kamu telah lama bercakap-cakap dengan Amirul Mukminin wahai wanita tua."

Mendengar kata- kata itu, Saidina Umar menegur al-Jarud, “Kenalkah kamu siapa wanita ini. Inilah Al-Khaulah binti Hakim. Biarlah dia berbicara, kerana Allah mendengar aduan dan bicaranya, sesungguhnya Umar lebih layak mendengar kata-katanya."

(Aduan al-Khaulah didengari oleh Allah sehingga turun wahyu surah al-Mujaadalah – surah ini mengandungi 22 ayat : "Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat."- Surah al-Mujadalah : ayat 1)

Wahai anakku,
Ambillah kisah ini sebagai suatu panduan bagimu, kerana engkau tidak sebaik Umar al-Khattab dan jauh daripada al-Khaulah yang aduannya dijawab oleh Allah. Namun kemuliaan itu akan tetap ada pada sesiapa sahaja, selagimana ia sedia berlapang dada dengan nasihat dan teguran.

Wahai anakku,
Syaitan akan berusaha agar engkau memandang rendah kepada mereka yang menegurmu, tambahan pula andainya yang menegurmu itu lebih rendah darjat dan ilmu darimu. Awasilah kesombongan dan egomu, kerana mereka yang sombong tidak akan mendengar segala teguran, apa lagi untuk menerimanya.

Wahai anakku,
Engkau akan selamat selagi mana kamu menyedari hakikat ini. Bersabar sedikit dari kesakitan di dunia ini, kerana kesakitan dan deritanya tidak kekal. Sedang akhirat yang akan kamu tempuhi adalah alam yang lebih baik dan lebih kekal.

Senyum. Salam Jumaat.

1 ulasan:

Manis Purnama berkata...

ninta izin dan halal kerja copy paste saya dari blog YB
terima kasih