"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini dokumen yang memperincikan aliran wang ke akaun Najib

Carta daripada Wall Street Journal yang memperincikan perjalanan wang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Carta daripada Wall Street Journal yang memperincikan perjalanan wang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Antara dokumen dimuat naik The Wall Street Journal semalam bagi membuktikan dakwaannya mengenai aliran tunai besar ke dalam akaun milik Datuk Seri Najib Razak. – 8 Julai, 2015.
Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan mengenai AS$700 juta dana didakwa disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini memuatnaik dokumen online yang memperincikan perjalanan wang itu.
Dokumen-dokumen itu termasuk borang permohonan kiriman wang, surat kebenaran deposit tunai dan carta yang menggariskan aliran wang tersebut.

Beberapa angka bagaimanapun dihitamkan dalam dokumen itu.

Antara dokumen itu, yang menurut WSJ diperoleh "daripada siasatan kerajaan Malaysia", ialah tiga borang permohonan kiriman wang oleh Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Pada 26 Disember 2014, RM27 juta dan RM5 juta dipindahkan kepada seorang penerima yang disenaraikan sebagai AmPrivate Banking – 1MY, manakala RM10 juta dikirimkan pada 10 Februari 2015.

Dalam borang itu, butiran pembayaran disenaraikan sebagai pemindahan dana untuk "program CSR" (tanggungjawab sosial korporat).

Akaun Ihsan Perdana ialah dengan Affin Bank.

Terdapat juga urus niaga luar negara sebanyak AS$619,999,988 dan AS$60,999,988 daripada Tanore Finance Corp melalui Falcon Private Bank, pada 21 Mac 2013 dan 25 Mac 2013, yang disokong dokumen pemindahan kredit MT103 yang dikeluarkan komputer.

Juga, sepucuk surat daripada Nik Faisal Ariff Kamil, seorang pengarah SRC International Sdn Bhd, kepada pengurus cawangan AmIslamic Bank Bhd turut dimuatnaik online berkaitan 3 akaun bank.

Dalam surat itu tertulis, "melihat kepada jadual kedua-dua pemegang akaun dan saya (termasuk pelbagai lawatan dan mesyuarat yang dijadualkan dan kemungkinan timbul keperluan membuat perjalanan secara ad hoc), saya percaya akan ada waktunya saya mungkin tidak ada untuk melakukan pemindahan yang diperlukan dan memberi arahan penghantaran wang kepada Bank".

Surat itu kemudiannya menyatakan: "susulan perkara di atas dan kebenaran yang diberikan kepada saya yang dilantik sebagai Personel Yang Bertanggungjawab hal ehwal Akaun, sila ambil perhatian pencalonan saya untuk wakil berikut untuk menguruskan deposit tunai segera ke dalam Akaun yang diperlukan bagi maksud, antara lain, menunaikan cek segera di luar arahan saya".

Nama dan butiran kad pengenalan pada dokumen itu bagaimanapun dihitamkan.

SRC International ialah syarikat dimiliki Kementerian Kewangan.

Najib ialah pengerusi lembaga penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mengumpul RM42 bilion hutang selepas hanya enam tahun beroperasi.

Khamis lalu, WSJ dan Sarawak Report, laman web yang berpangkalan di UK, mendedahkan sejumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) didakwa dipindahkan ke dua akaun bank di bawah nama Najib dengan AmBank.

--------------------------------------------

Dokumen tunjuk aliran wang ke akaun Najib amat berat, kata peguam
JENNIFER GOMEZ

Pendedahan dokumen yang didakwa menunjukkan sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun peribadi milik Datuk Seri Najib Razak sesuatu yang dari segi luarannya nampak "menjahanamkan", walaupun siasatan masih berjalan, kata peguam.
Peguam dan Presiden Bersama Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) Lim Chee Wee berkata, pendedahan yang dibuat The Wall Street Journal (WSJ) semalam memperkuatkan lagi kesahihan dakwaan itu.

Lim berkata timbalan perdana menteri seharusnya memangku jawatan perdana menteri sehingga siasatan selesai.

"Perdana menteri sekarang kurang kredibiliti dan kuasa moral untuk memimpin negara. Pendek kata, beliau tidak ada legitimasi.
"Walaupun tidak ada keperluan undang-undang, amalan biasa berdasarkan persepsi, dan bagi seorang yang menduduki jawatan tinggi, persepsi sama pentingnya dengan realiti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Katanya, jika Najib terbukti tidak memiliki akaun bank tersebut dan tidak menerima duit itu, beliau boleh kembali bertugas.

"Dan WSJ perlu berdepan semua bentuk tindakan undang-undang dan pendakwaan.

"Jika dokumen itu benar, perlu ada pendakwaan," kata Lim (gambar, kanan) yang juga bekas presiden Majlis Peguam itu.
WSJ melaporkan minggu lepas, sejumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke akaun peribadi Najib dan semalam, mendedahkan dokumen di Internet menyokong dakwaannya.

Dokumen itu termasuklah paparan grafik perpindahan wang itu.

Beberapa nama, angka dan kad pengenalan, bagaimanapun, tidak didedahkan dalam dokumen berkenaan.

Sementara itu, bekas pengurus kanan Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, dokumen itu hanya menunjukkan wang disalurkan ke akaun Najib.

Ini tidak bermakna kesalahan dilakukan kecuali terdapat penjelasan mengenai sumber dana berkenaan.

"Melihat kepada besarnya dana yang terlibat, siasatan diperlukan untuk menentukan jika ia datang daripada aktiviti perniagaan yang sah atau tidak, termasuk jika ada rasuah," katanya.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) layak mengesahkan sama ada akaun berkenaan milik Najib atau tidak, tetapi ia masih belum melakukannya.

"Saya hanya mampu menganggap yang mereka belum keluarkan kenyataan kerana perkara itu sekarang tertakluk di bawah siasatan," katanya.

"Tetapi, sesuatu yang memalukan apabila pihak asing yang memberikan maklumat sementara BNM masih membisu.

"Kebisuan itu memekakkan," kata Geethan, yang kini berkhidmat di sektor swasta, khusus dalam bidang jenayah komersial.

Bagaimanapun, Lim berkata BNM masih belum mengeluarkan kenyataan mungkin kerana kes itu masih di bawah siasatan.

"BNM membisu kerana ia masih sedang menyiasat perkara itu dan ia sebahagian prosedur operasi standard," katanya.



Bekas presiden Majlis Peguam, Christopher Leong (gambar, kiri) juga mempersoalkan sama ada BNM dimaklumkan berkenaan kiriman wang masuk dari luar negara berjumlah AS$620 juta dan AS$61 juta yang dipindahkan pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei tahun itu.
"Jika ya, apa yang BNM lakukan, memandangkan dokumen elektronik MT103 yang ada tidak menyatakan tujuan spesifik jumlah besar itu," katanya.

Beliau juga berkata, jumlah besar kiriman wang masuk dalam negara mencecah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta sudah tentu akan mengaktifkan peruntukan dan prosedur pemberitahuan mengenai anti-pengubahan wang haram, dan mempersoalkan sama ada ia dipatuhi pihak dan bank terbabit.

Kesalahan jenayah sudah tentu dilakukan jika wang itu diterima daripada dana awam tetapi menambah, ia tidak boleh disimpulkan hanya berasaskan kepada dokumen yang didedahkan, katanya.

Leong berkata, 4 perkara perlu diteliti: mengenalpasti dan mengesahkan sumber dana itu; tujuan dana itu; penerima utamanya; dan sama ada peruntukan atau prosedur undang-undang dan peraturan tidak diendahkan.

Tambahnya, situasi sekarang tidak memihak kepada Najib, lebih-lebih lagi apabila beliau tidak menafikan akaun itu atas namanya.

"Tetapi, keseluruhan kes ini perlu dirungkaikan sebelum apa-apa keputusan dibuat.

"Ketika ini, wujud isu, masalah dan kebimbangan yang serius dan merisaukan, yang memerlukan siasatan menyeluruh dan bebas.

"Saya percaya terlalu awal untuk kita membuat sebarang kesimpulan yang muktamad sekarang," katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: