"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS akan digelar hipokrit atau mengamalkan "kemunafikan politik" - Mahfuz Omar

Bahana 'usul panjang jadi pendek' PAS
Menceritakan bagaimana usul memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas dalam muktamar lalu dibuat, Datuk Mahfuz Omar dengan panjang lebar menjelaskan kronologinya.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, bekas Ketua Penerangan PAS itu berkata, usul berkenaan diputuskan dalam mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pusat PAS dipengerusikan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam sebelum muktamar penuh.

Beliau berkata asalnya ia adalah usul PAS Tumpat dan usul Dewan Ulama yang mencadangkan "Pakatan Rakyat diperkukuhkan".

Bagaimanapun, katanya, jawatankuasa itu "memendekkan" usul panjang sayap PAS yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP berdasarkan sembilan alasan "tanpa mengubah atau lari maksud sebenarnya".

Dalam pertemuan itu juga, Mahfuz berkata beliau telah menjelaskan secara terperinci baik dan buruk kedudukan politik PAS jika usul memperkukuhkan Pakatan dan usul memutuskan hubungan DAP dibahaskan oleh perwakilan.

Bagaimanapun, pada hari kedua muktamar, beliau didatangi oleh naib presiden ketika itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memaklumkan bahawa Hadi memanggilnya untuk membincangkan usul tersebut sekali lagi.

Katanya, beliau sempat mempersoalkan langkah itu kerana ia telahpun diputuskan sebelum ini.

"Tapi dia kata ada sedikit perbincangan. Jadi saya pun turun diikuti Datuk Mustafa Ali (ketika itu Setiausaha Agung PAS). Saya pun panggil Mat Sabu (Mohamad Sabu) dan Salahuddin Ayub.

"Saya kata kenapa kita tak bincang (dengan ahli jawatankuasa PAS) sepenuhnya. Dia kata kita tak sempat. Akhirnya diminta oleh presiden dan dipersetujui oleh mursyidul am, bahawa usul itu hendaklah diterima tanpa bahas.

"(Namun) bila dalam sesi perbentangan usul, saya jelas kesan daripada usul itu supaya muktmar dapat melihatnya. Sepatutnya muktamar boleh pada waktu itu, kalau mereka kata, (kami) tak nak usul itu diterima tanpa bahas, buka balik untuk dibahas.

"Semua orang boleh bersetuju ia boleh dibahas, dan (bila) dibahas dan boleh ditolak. Tapi tak jadi begitu, saya pun tidak tahu mengapa," katanya.

Buat U-turn atau tidak

Mengenai kemungkinan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS akan membuat 'pusingan U' berhubung usul memutuskan hubungan dengan DAP, Mahfuz berkata, parti Islam itu akan digelar hipokrit atau mengamalkan "kemunafikan politik".

MP Pokok Sena itu juga berkata sekiranya keputusan langkah itu dibuat, ia "sangat berbahaya" kepada PAS kerana boleh mencetuskan krisis kepercayaan kepada pengundi teras parti berkenaan.

"Ada media tanya kepada saya, (sama ada PAS) boleh buat U-turn. Saya kata sangat berbahaya. Ia akan menimbulkan krisis kepercayaan pengundi teras PAS. Kalau DAP buat U-turn (pula), pengundi teras DAP akan hilang kepercayaan kepada DAP.

"Kedua-dua parti kena melihat keutamaan kepada pengundi teras sebelum melangkaui pengundi bukan teras. Jadi ini saya lihat sukar, kerana kalau silap U-turn, kita (PAS) akan dilihat sebagai hipokrit, atau (mengamalkan) kemunafikan politik," katanya.

Mahfuz juga berpandangan Pakatan Rakyat sudah berkubur selepas usul memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas dalam muktamar lalu.

Walaupun kedua-dua pihak ada hujah masing-masing mengenai kewujudan Pakatan, katanya, keadaan adalah sulit untuk dijelaskan.

"Sekarang ini Pakatan adalah PAS dengan PKR, tetapi PKR ada hubungan dengan DAP. Tak boleh begitu. Jika PAS berada dalam kerajaan, maknanya PAS masih ada hubungan kerjasama dengan DAP," katanya.

Kepimpinan PAS dalam kesulitan

Mengulas lanjut, Mahfuz yang lebih 30 tahun bergelumang dalam PAS mengakui kepimpinan tertinggi PAS berada dalam kesulitan untuk menguruskan usul yang diputuskan dalam muktamar lalu.

Tambahan pula, katanya, PAS juga dilihat tidak bersedia untuk memutuskan hubungan dengan PKR memandangkan ramai wakil parti itu mempunyai kedudukan dalam struktur kerajaan Selangor.

"Jadi saya tidak tahu bagaimana parti akan uruskan usul yang diterima tanpa bahas ini.

"Kalau itu yang dibuat - iaitu putus dengan DAP, tapi tidak dengan PKR - sudah tentu ini menyulitkan (Menteri Besar Selangor) Azmin Ali kerana beliau berada yang keadaan sangat dilema. Bila putus hubungan, dia kena buat pilihan, tak boleh berterusan tiga parti berada dalam sebuah kerajan.

"Beliau mesti buat pilihan sama ada PAS atau DAP. Kalau (pilih) PAS, DAP kena berundur dalam kerajaan. Kalau (pilih) DAP, PAS kena berundur daripada kerajaan. Tak boleh ada unsur kerajaan campuran," katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: