"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa yang sebenarnya melarang Faiz Berucap Dalam Bahasa Melayu?

Tranungkite
JARINGAN anak kelahiran Kedah, Mohd Faiz Subri yang dianggap melanggar hukum fizik tidak disambut majoriti masyarakat kita dengan tuntutan supaya menyelamatkan kawasan padang awam dan padang sekolah.

Tapak lapang untuk generasi kanak-kanak dan remaja kita mengasah bakat dalam sukan semakin pupus diratah kapitalis dengan restu angguk birokrat.

Sudahlah begitu, nilai jati diri negara bangsa pun masyarakat dunia tidak kenal ketika melihat penampilan dan mendengar ucapan pemenang anugerah berprestij Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu.

Tendangan bola yang cantik sehingga diiktiraf dunia lebih bermakna andainya Mohd Faiz tampil berbahasa dan berpakaian kebangsaan di pentas antarabangsa.

Tidak memakai set persalinan lengkap baju Melayu tradisional pun boleh sahaja bersut dengan mengenakan songkok. Bahkan sungguh pun mahu tampil berbaju sut begitu, alangkah lebih bergaya memberi ucapan sepenuhnya dalam BAHASA MELAYU.

Ikon Running Man warga Korea itu pun ketika bertandang di Kuala Lumpur baru-baru ini berucap penuh dalam bahasa kebangsaannya sebelum diakhiri dengan menyebut ‘Terima kasih’.

Kenapa tidak Mohd Faiz seorang anak berketurunan Melayu warganegara Malaysia? Pencapaian Mohd Faiz sebagai pemain pertama Asia membawa pulang Anugerah Puskas itu tidak akan tarik balik jika beliau berbahasa kebangsaan di pentas antarabangsa.

Daripada segi kebudayaan yang merentas sempadan negara, pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu bukan sahaja membawa nama Malaysia bahkan Mohd Faiz mewakili ratusan juta penutur bahasa Melayu dan mereka yang berketurunan Melayu yang tersebar di seluruh dunia.

Jika Faiz berucap dalam bahasa Melayu, warganegara di negara yang bahasa kebangsaannya adalah bahasa Melayu iaitu di Indonesia, Singapura dan Brunei akan turut berasa bangga sekali gus menyuburkan kembali rasa kebersamaan di rantau ini.

Masyarakat Melayu di selatan Thailand dan Filipina bahkan sehingga ke ceruk paling timur kepulauan Melayu iaitu Papua di Pulau New Guinea dengan ibu kotanya bernama 'Jayapura' itu pun tentunya berbangga dengan pencapaian Mohd Faiz.

Lidah Mohd Faiz mustahil jadi kelu untuk melontarkan kata-kata meskipun suhu di Zurich, Switzerland dikatakan mencecah -5 Darjah Celsius andai beliau berucap dalam bahasa Melayu.

Lebih bermakna jika Faiz mungkin menyelitkan serangkap pantun yang umum diketahui dunia merupakan warisan keintelektualan bangsa Melayu dalam mengoptimumkan penggunaan kata ketika menyampaikan maksud yang dicita.

Namun, Mohd Faiz dilapor tidak dibenarkan berucap dalam bahasa kebangsaannya. Siapa yang sebenarnya melarang Faiz untuk beliau dibenarkan berucap dalam bahasa kelima terbesar di dunia itu?

Jika kita menyaksikan rakaman majlis itu, jelas pemenang Piala Dunia Fifa tahun 1994 dan 2002, Ronaldo bercakap dalam bahasa Portugis.

Melihatkan Mohd Faiz di pentas sebaik namanya diumumkan sebagai penerima anugerah terpaksa mengambil tempoh 25 saat untuk mencari teks dalam bahasa Inggeris di telefonnya, itu sebenarnya patut memalukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri sebagai pendesak kepada penganjur untuk membenarkan Mohd Faiz berucap sahaja dalam bahasa Melayu.

Soal tiada penterjemah untuk bahasa Melayu kalau Mohd Faiz berucap dalam bahasa Melayu, itu bukan halangan di pihak kita. Penganjur boleh cari jalan kalau ada tuntutan di pihak kita.

Pengajian Melayu yang berada di seluruh dunia boleh sahaja dimanfaatkan. Hanya yang mungkin tiada kesungguhan adalah di pihak elit birokrat sukan kita dan pihak kementerian tentunya.

Wajar sekali FAM serta Kementerian Belia dan Sukan terlebih dahulu menuntut pengecualian memandangkan Mohd Faiz sudah bertaraf dunia. Anugerah itu tidak harus dibiar menafikan hak Mohd Faiz sebagai pemain bertaraf dunia untuk meluahkan isi hatinya dalam bahasa Melayu.

Setakat menuntut pihak penganjur membenarkan Mohd Faiz berucap dalam bahasa Melayu itu bukan satu permintaan yang keterlaluan ketika kita sedia maklum ramai pemain dunia yang bukan dari latar bangsa Inggeris selamba berucap dalam bahasa masing-masing.

Sayangnya, kelas elit birokrat sukan di negara ini tidak cukup kuat semangat negara bangsanya untuk melakukan desakan seperti itu. Mereka sendiri sama seperti pemimpin politik lebih selesa bercakap Inggeris.

Ada pula orang Melayu sendiri menganggap Mohd Faiz perlu dimasukkan ke kelas bahasa Inggeris! Ini satu reaksi melampau dan jelas lahir tanda sedar akibat minda tertawan seperti pernah dibahaskan ilmuan, Allahyarham Dr Syed Hussein Alatas.

Sepatutnya Mohd Faiz perlu diberi lebih ruang dan peluang untuk membuka kelas bola sepak khusus mengasah bakat generasi pelapis. Beliau jadi terkenal dan menerima anugerah bukan kerana kemahirannya dalam bahasa Inggeris.

Kelebihan Mohd Faiz adalah kejayaannya menguasai putaran bola itu. Bahkan, kejayaan Mohd Faiz yang dikecapi itu juga pada masa sama menjadi bukti tanpa bahasa Inggeris, seseorang itu masih boleh melakar kejayaan yang tiada tolok bandingnya.

Orang Melayu yang berjaya dalam bidang masing-masing sehingga melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa harus mempunyai tanggungjawab dan kesedaran diri yang tinggi untuk memperkenalkan nilai kebudayaan kita sama ada dari segi berpakaian dan juga berbahasa apa lagi majlis rasmi bertaraf dunia itu.

Dari segi kebudayaan kebangsaan, baju Melayu sudah diiktiraf sebagai pakaian kebangsaan. Begitu juga taraf bahasa Melayu yang termaktub di perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan.

Jadi, mengapa dua nilai kebudayaan kebangsaan ini harus dibiar lenyap ketika kita berada di pentas antarabangsa ketika nilai kebudayaan bangsa negara lain sudah jauh menjalar sehingga dalam konteks budaya popular?

Mengapa pihak pengurusan sukan di negara ini sanggup pejam mata tunduk pada arahan penganjur (jika benar) membiarkan hak bahasa Melayu dinafikan untuk dipendengar kepada seluruh dunia yang bukan sahaja terdiri daripada bangsa Inggeris?

Adakah FAM tidak cukup berjiwa besar untuk memperjuangkan nilai bahasa kita daripada 'dijajah' oleh pihak pihak penganjur? Jauh lebih penting, adakah soal berkaitan Melayu hanya digembar-gemburkan hanya demi kepentingan parti politik yang berasaskan kaum semata-mata?

Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang merentas kaum bahkan sempadan negara. Jika kelas elit birokrat sukan dan elit politik di negara ini gagal memahami maruah bahasa Melayu sama pentingnya dengan pencapaian hebat Mohd Faiz itu, sampai bila pun sukan di Malaysia dan maruah bangsa Melayu tidak ke mana.

Kemenangan Faiz itu peluang untuk kita bukan sahaja suka-suka berbangga pada dunia tetapi jauh lebih penting menyuntik kembali semangat pada lebih ramai anak-anak bangsa untuk maju dalam bidang masing-masing.

Sayangnya, sekali lagi golongan elit birokrat sukan dan elit politik di negara ini sendiri masih lagi berjiwa hamba.

MOHD ARIF

Tiada ulasan: