"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pensyarah guna buku Hannah Yeoh jaja kebencian

Rozhan Othman

Polemik sekitar buku biografi Hannah Yeoh adalah satu contoh bagaimana adakalanya sukar membezakan di antara kesarjanaan dan kedurjanaan. Seorang pensyarah di sebuah universiti di ceruk tanah air menjadikan penulisan Hannah isu politik.

Hannah dituduh cuba menyebar ajaran Kristian kerana penulisannya dipenuhi rujukan kepada kitab Injil. Ia juga banyak menceritakan kisah hubungan dirinya dengan Tuhannya. Pensyarah berkenaan mendakwa ia boleh membuatkan dirinya kagum dengan Tuhan Hannah. Beliau juga mendakwa penulisan Hannah akan menimbulkan keresahan di kalangan orang Islam.

Sungguh aneh pensyarah ini menganggap dirinya sebagai jurubicara umat Islam. Bila masakah dia bertanya kepada umat Islam apakah isu-isu yang meresahkan mereka? Adakah dia pernah bertanya kepada umat Islam berapa ramai yang sudah membaca buku Hannah?

Sekiranya pensyarah terbabit resah dengan penulisan Hannah, adakah itu bererti semua umat Islam juga akan resah? Adakah begitu mudah bagi seorang umat Islam yang kebanyakannya melalui bertahun-tahun pengajian agama tergelincir akidah dan iman mereka?

Adakah keresahan yang pensyarah ini alami kerana Hannah mengelirukannya atau ia lebih menggambarkan kekusutan pemikirannya dan kedangkalan ilmunya? Tiada sesiapa yang memaksa mana-mana orang, Islam atau bukan Islam membaca buku Hannah. Sekiranya pensyarah ini resah dan keliru, ia datang daripada dalam dirinya.

Adakah kebebasan beragama di Malaysia bererti seseorang bukan Islam tidak boleh berbicara mengenai agamanya sendiri? Adakah ini bermakna dialog antara agama yang sering diadakan di Malaysia patut diharamkan kerana dikhuatiri orang Islam akan keliru bila terdedah kepada pandangan agama-agama lain?

Bagaimana pula dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai rancangan membina pusat pelbagai agama di Putrajaya? Tidakkah itu akan mengelirukan umat Islam yang merupakan majoriti penduduk Putrajaya? Kenapa pensyarah ini membisu dalam isu ini?

Bagaimana pula dengan lawatan menteri luar ke Vatican? Adakah pensyarah ini tidak resah menteri luar akan terpesong akidahnya dan terpedaya nanti? Tidakkah pensyarah ini merasakan keputusan kerajaan membuka kedutaan di Vatican boleh menyebabkan kekeliruan dan keresahan di kalangan umat Islam?

Adakah pensyarah ini merasakan umat Islam di Malaysia semuanya dungu dan psikotik sehinggakan hidup mereka dipenuhi keresahan dan kekeliruan sahaja sepanjang hayat mereka?

Dan kenapakah pensyarah berkenaan bimbang dia akan kagum dengan Tuhan Hannah, seorang Kristian? Bukankah Al-Quran menyebut orang Kristian sebagai ahli kitab dan bertuhankan Allah? Kenapakah dia marah Hannah merujuk kepada Injil? Bukankah Injil itu kitab yang diberi Allah?

Maksud firman Allah:
“Dan Kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israil) dengan Isa putera Maryam, membenarkan kitab yang sebelumnya, yaitu: Taurat. Dan Kami telah memberikan kepadanya Kitab Injil sedang di dalamnya (ada) petunjuk dan dan cahaya (yang menerangi), dan membenarkan kitab yang sebelumnya, yaitu Kitab Taurat. Dan menjadi petunjuk serta pengajaran untuk orang-orang yang bertakwa.” (Maksud Al Maidah: 46)

Pensyarah rendah keyakinan diri, iman dan akidah

Sesiapa yang mengikuti drama persengketaan di antara pensyarah ini dengan Hannah sudah tentu akan tertanya apakah motif pensyarah ini? Kita mungkin mengharapkan seorang pensyarah akan dapat memberi analisis yang akademik, objektif, logikal dan mempunyai nilai kesarjanaan.

Sebaliknya, kita lihat logik yang digunakan pensyarah ini membuatkan Pak Pandir kelihatan lebih pintar. Tindak-tanduknya menunjukkan beliau seorang yang rendah keyakinan diri, cetek keimanannya dan rapuh akidahnya.

Sebuah buku biografi sudah cukup untuk mengoncang keyakinan dan keimanannya. Adakah ini tahap intelek seorang yang berkelulusan PhD? Mudah tergugat dan resah dengan sebuah buku yang ditulis oleh seorang yang tidak pun memiliki kelulusan PhD.

Rekod prestasi pensyarah

Malahan, jika kita teliti kedudukan pensyarah ini sebagai ahli akademik, rekod prestasinya sangat tidak mengagumkan. Senarai karya beliau yang tersenarai di repositori universitinya menunjukkan 10 karya teratas beliau hanyalah penulisan di surat khabar. Tiada satu pun di antara karyanya yang tersenarai diterbitkan di jurnal-jurnal yang mempunyai nilai kesarjanaan.

Apabila pencarian namanya dilakukan di Scopus dan Google Scholar untuk mendapatkan kedudukan h-index beliau, nilai yang diperolehi ialah 0. H-index ialah indeks yang mengukur sejauh mana karya seseorang ahli akademik dirujuk dan disebut penyelidik-penyelidik lain.

H-index yang tinggi bererti ahli akademik berkenaan sudah menghasilkan karya ilmiah yang turut diiktiraf penyelidik-penyelidik lain. H-index 0 bererti tiada satu pun karyanya dijadikan rujukan dan disebut penulis lain. Sungguh aneh seorang pensyarah yang mempunyai kedudukan kesarjanaan sebegini rendah dilantik sebagai pengarah institut di sebuah universiti.

Antara kedurjaan dan kesarjanaan

Jika kita menilai secara keseluruhan, nyata sekali karya serta ulasan pensyarah ini menunjukkan kedurjanaan dan bukan kesarjanaan beliau. Kredibiliti beliau hanyalah setaraf Sean Spicer, Kelly Ann Conway dan Steve Banon yang merupakan pegawai-pegawai utama Presiden Donald Trump.

Watak beliau ialah watak seorang yang rendah keyakinan diri yang cuba mencari publisiti dan pengiktirafan, sama ada dengan mengampu atau menjaja kebencian. Sumbangan utama beliau ialah sebagai propagandis golongan tertentu.

Peranan beliau kini ialah menjembalangkan DAP. Ini dilakukan dengan harapan sesiapa yang bekerjasama dengan DAP akan turut terpalit dan ditakuti. Inilah sebabnya karya dan ulasannya tiada nilai kesarjanaan. Sebaliknya, dia dengan relanya menjadi khadam yang menyebarkan kedurjanaan.

Tiada ulasan: