"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak pelik PAS mahu rujuk dengan PKR

Amanah tidak pelik PAS kembali sudi bersama PKR, PPBM
Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR: Amanah tidak pelik PAS sekali lagi mengubah pendirian mereka berhubung kerjasama dengan PKR dan PPBM.

Timbalan Presiden Salahuddin Ayub berkata sikap tiada berpendirian tetap sudah sinonim dengan pimpinan bekas partinya sekarang.

“PAS boleh buat keputusan hari ini, kemudian esok berubah, jadi saya tak pelik dengan ‘flip flop’ yang menjadi amalan pemimpin PAS hari ini,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Amanah hari ini.

Beliau mengulas Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata Gagasan Sejahtera masih terbuka untuk bekerjasama dengan PKR dan PPBM untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun PKR dan PPBM perlu memutuskan hubungan Amanah dan DAP, tambahnya.
PKR dan PPBM serta DAP dan Amanah menganggotai Pakatan Harapan.

PAS mewujudkan Gagasan Sejahtera, yang dianggotai parti kecil seperti Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). Parti Cinta Malaysia dilaporkan berminat untuk menyertai pakatan itu.

Pada 11 Mei lalu pula, Majlis Syura Ulama PAS mengambil keputusan menamatkan kerjasama hampir 18 tahun dengan PKR seperti yang diluluskan perwakilan pada Muktamar PAS ke-63, 30 April lalu di Kedah.

Sebelum itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 12 Februari menutup kerjasama dengan PPBM, dengan alasan mereka tidak mahu bekerjasam dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

PAS memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015. Amanah ditubuhkan bekas pemimpin veteran parti itu selepas tewas pada pemilihan parti tahun itu.

Dalam sidang media sama, Salahuddin memaklumkan senarai pucuk pimpinan Pakatan Harapan akan diumumkan selepas sambutan hari raya.

Ini kerana mereka gagal mencapai kata sepakat untuk memuktamadkan barisan kepimpinan PH sebelum Aidilfitri.

“Kita tidak ada masa untuk mengadakan mesyuarat beberapa hari ini kerana hari raya akan menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata Majlis Presiden PH akan kembali bermesyuarat mengenai senarai kepimpinan pakatan dan logo bersama mereka selepas sambutan hari raya.

Sebelum ini Salahuddin berkata barisan penuh pimpinan PH akan diumumkan sebelum hari raya memandangkan gabungan itu sedang memperkemaskan senarai ahli jawatankuasa dan melakukan sentuhan terakhir ke atas logo PH.

Tiada ulasan: