"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Kedah murka pemimpin politik, ulama hangatkan permusuhan sesama Islam

BERNAMA
Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita atas tindakan sesetengah pemimpin politik dan individu berkepentingan mengambil kesempatan menghangatkan lagi permusuhan sesama Islam menerusi ruang maya.

Malah, titah baginda, ilmuan agama turut tidak terkecuali mengeluarkan fatwa, tuduh-menuduh dan berdebat di alam siber sehingga masyarakat sendiri berbelah bagi.

"Janganlah kerana perbezaan ideologi yang sempit atau kerana kepentingan diri yang lain, isu sensitif seperti kemuliaan agama Islam, kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan kaum, hukum-hakam serta agama Islam diperdebatkan secara tidak beradab di laman sosial sekali gus mengundang tafsiran negatif," titahnya.

Titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah sempena perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima yang ke-13 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Titah baginda, pada ketika ini pelbagai maklumat boleh diperoleh dengan bebas tanpa ada satu sistem tapisan yang boleh membezakan antara yang hak dan batil.

Malah penggunaan telefon dan gajet sudah menjadi satu budaya hidup, menyaksikan lebih 17 juta penduduk di negara ini mempunyai akses kepada ruang maya dengan separuh daripadanya mempunyai akaun Facebook, titah baginda.

"Natijahnya, fitnah dan cerita palsu menjadi tular dan dijaja serata tempat, senario ini menjadi virus yang memporakperandakan dan mengelirukan rakyat, memecahbelahkan dan mengucar-ngacirkan ukhuwah yang selama ini terjalin indah," titah Sultan Abdul Halim.

Dalam pada itu, baginda melahirkan rasa bangga apabila Kedah menjadi antara negeri dan pelopor awal dalam usaha memartabatkan keunggulan pendidikan, terutama pendidikan Islam.

"Hal ini dapat dibuktikan menerusi sistem pengajian pondok di mana sistem pondok kini telah dibuat penambahbaikan dan kesannya kini kita sudah memiliki Maahad Tahfiz Sains di Kulim,\" titahnya

Sultan Kedah turut memuji kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilihat baginda konsisten dalam melakar dasar prorakyat, misalnya melalui program Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) yang memanfaatkan lebih 100,000 rakyat Kedah sejak diperkenalkan pada April 2016.

"Beta juga amat tertarik dengan daya usaha memanda Menteri Besar yang menjadikan usaha gilapan modal insan sebagai dasar utama negeri, meskipun 'Gen-Y' hanya mewakili 38 peratus daripada keseluruhan penduduk Kedah, beta difahamkan kerajaan negeri memberi fokus lebih kepada 40 peratus pelaksanaan dasar kepada generasi muda," titahnya.

Titah baginda pelaksanaan program seperti 'Internship Mahasiswa Anak Negeri Kedah (IMAN), tuisyen BARAKAH, insentif persatuan mahasiswa, Skim Mikro Kredit Usahawan Muda dan Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) adalah antara program yang memberi tumpuan kepada anak muda dan berjaya dilaksanakan dengan baik.

Sultan Kedah bertitah kewujudan projek Bandaraya Getah di Padang Terap dengan nilai pelaburan awal

RM417 juta yang disalurkan kerajaan persekutuan, mampu mewujudkan kesan limpahan ekonomi dan prospek baharu kepada 40,000 penoreh getah di negeri itu.
"Beta difahamkan melalui Makmal Pengurusan Nilai yang baru diadakan, sejumlah peruntukan tambahan telah diluluskan bagi merangka pembangunan fasa satu yang akan bermula tahun depan," titahnya.

Persidangan bersambung pada 9 pagi esok

Tiada ulasan: