"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hutang kerajaan Malaysia dalam keadaan membimbangkan, kata penyelidik

MALAYSIA DATELINE
Hutang kerajaan Malaysia dalam keadaan membimbangkan, kata penyelidik
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM, Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail berkata, hutang kerajaan Malaysia sekarang sebenarnya berada dalam keadaan membimbangkan walaupun pembekal dana hutang atau sistem perbankan masih yakin untuk memberi hutang kepada kerajaan.

Keyakinan tersebut katanya, adalah semata-mata berdasarkan kesanggupan rakyat untuk terus bekerja dengan lebih rajin dan gigih lagi, bukan sahaja untuk menyara kehidupan sendiri bahkan juga untuk membayar cukai kepada kerajaan yang akan digunakan untuk menjelaskan hutang-hutang negara sedia ada dan yang akan datang.

Kata beliau, jika keadaan perbelanjaan kerajaan tidak berubah (yakni tidak dapat dikurangkan) dan masalah ketirisan serta pembaziran tidak dapat diatasi, maka kemungkinan besar kadar GST kita juga akan terpaksa dinaikkan kepada tahap yang lebih tinggi dan membebankan.

“Kita juga jangan lupa bahawa daripada kaca mata Islam, sebarang bentuk amalan hutang yang menghasilkan keuntungan kepada pembekal dana hutang adalah bertentangan dengan Shariah.

“Bayaran interest atau bunga adalah haram hukumnya. Namun hakikatnya sekarang ini akibat daripada jumlah hutang yang menghampiri RM700 billion bermakna kerajaan Malaysia membayar bunga atau interest kepada pemberi hutang sebanyak hampir RM30 billion setahun,” kata beliau dipetik daripada artikel beliau “Hutang Kerajaan: Membimbangkan atau Tidak?” yang turut disiarkan Malaysia Dateline.

Jelas beliau, di pihak isi rumah pula jumlah hutang adalah sudahpun melebihi RM1 trillion dan ini bermakna jumlah keuntungan atau interest kepada pihak bank adalah melebihi RM50 billion setahun.

Oleh itu tambahnya, cara kerajaan dan rakyat berhutang sekarang bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, bahkan juga menjadi penyumbang utama kepada masalah kenaikan kos sara hidup kerana sistem kewangan yang memberi hutang itu juga pada masa yang sama mencipta wang yang banyak.

“Inilah punca utama kepada inflasi dan oleh sebab itulah masalah kos sara hidup ini juga wujud di negara-negara lain yang dikatakan maju dan bebas daripada masalah korupsi dan ketirisan.

“Jelaslah bahawa negara kita bukan sahaja memerlukan sebuah kerajaan yang mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah dan bebas daripada amalan korupsi, bahkan juga perlu kepada sistem kewangan Islam yang sebenar, yang bebas daripada cengkaman industri hutang,” kata beliau yang juga AJK Movement for Monetary Justice (MMJ) itu.

Tiada ulasan: